Tuesday, August 25, 2015

On 12:22 PM by أمير الشفيق

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Berkenaan isu masalah parking di Kolej Kediaman Pelajar, perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak berikutan ianya melibatkan isu kebajikan para pelajar serta keselesaan siswa pendidik belajar di institut. Masalah ini mula meruncing dan juga berkemungkinan berpunca apabila berlakunya perpindahan blok lelaki dan blok perempuan. Tambahan lagi, para pelajar baharu dibenarkan untuk membawa kenderaan ke institut. Ini menyebabkan kadar penggunaan kenderaan meningkat dan menyebabkan kawasan meletak kenderaan menjadi terhad.

Saya di pihak Jawatankuasa Perwakilan Pelajar telah menerima sebanyak 7 aduan berkaitan kenderaan dilanggar sepanjang Semester 2/2015. Masalah ini telah menyebabkan pelajar yang dilanggar kenderaannya menanggung kerugian untuk kos penyelenggaraan membaiki. Hal ini berpunca dari tiada individu yang mengaku melanggar kenderaan orang lain.

Rentetan isu masalah kepadatan parking dan laporan kenderaan dilanggar, kami di pihak JPP memandang serius masalah ini. Sehubungan dengan itu, kami telah memohon untuk menambah kawasan parking baharu pelajar dan mengecat semula lot kawasan parking. Satu surat rasmi telah dihantar oleh saudara Muhamad Amirul Syafiq bin Md Yusuf selaku Yang Dipertua JPP IPG Darulaman sesi 2015/2016 pada 2 Ogos 2015 kepada Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Ketua Unit Khidmat Pengurusan dan Timbalan Pengarah. Impak surat yang dibawa, pihak pengurusan bersetuju untuk mengecat semula kawasan lot parking kenderaan manakala permohonan parking baharu perlu dibawa ke mesyuarat pengurusan.

Pihak Majlis Warden pula bersetuju untuk hanya membenarkan pelajar semester ke-3 keatas sahaja dibenarkan membawa kenderaan. Walaubagaimanapun, kami di pihak JPP menentang cadangan ini kerana kesukaran para pelajar untuk mendapatkan makanan terutama pada waktu malam serta menyusahkan pelajar sekiranya tiada kenderaan di institut.

Berdasarkan tinjaun saya bersama pihak pengawal keselamatan serta pegawai berkaitan, masalah ini juga adalah berpunca dari kenderaan yang diletakkan sesuka hati oleh pelajar di kawasan larangan dan kawasan merbahaya. Ini menyebabkan laluan terhalang dan boleh membahayakan kenderaan lain. Masalah kepadatan parking ini juga menyebabkan pelajar meletakkan kenderaan di kawasan berhampiran bilik elektrik, rumah pam air serta tangki kumbahan. Ini menyukarkan dan mengganggu pihak berkaitan untuk melakukan kerja-kerja berkaitan kerana terhalang kenderaan pelajar.

Resolusi meja perbincangan telah diadakan antara pihak Jawatankuasa Perwakilan Pelajar bersama penghuni-penghuni Kolej Kediaman L1, L2 serta P2 yang telah diadakan pada 25 Ogos 2015 pada jam 10.00 malam. Kami telah sebulat suara sepakat bersetuju untuk mencadangkan dan dilaksanakan beberapa perkara iaitu :

1) Memohon agar semua penghuni Kolej Kediaman P2 meletakkan kenderaan di hadapan parking P1. Berdasarkan pemerhatian, didapati terdapat penghuni Kolej Kediaman P2 yang meletakkan kenderaan di kawasan L1 dan L2. Ini menyebabkan kepadatan dan kesukaran kepada penghuni L1 dan L2 untuk meletakkan kenderaan.

2) Memohon agar dibenarkan diletakkan kenderaan sebaris di hadapan rumah warden L1 dan L2. Permohonan ini adalah untuk membenarkan beberapa kenderaan turut diletakkan di sini. Ini kerana kawasan ini juga diletakkan kenderaan warden. Terdapat hanya 3 kenderaan warden yang sering diletakkan di sini.

3) Memohon kebenaran meletakkan kenderaan pada waktu malam di kawasan Kem Sri Banai. Berdasarkan tinjaun pihak JPP, kawasan Kem Sri Banai sesuai dijadikan kawasan parking sementara kerana keluasannya serta faktor cahaya yang baik untuk diletakkan kenderaan.

4) Memohon agar pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) tidak dibenarkan membawa kenderaan kerana ketiadaan keperluan untuk penggunaan kenderaan. Penggunaan kenderaan perlu diberi keutamaan kepada pelajar-pelajar yang menjalani Praktikum di sekolah.

5) Memohon menutup semula pintu pagar Kolej Kediaman P2 yang dibuka ketika masalah air. Pembukaan pintu pagar ini telah menyebabkan beberapa pelajar Kolej Kediaman P2 mengambil kesempatan meletakkan kenderaan di kawasan L1 dan L2

6) Mencadangkan agar kenderaan yang tidak mempunyai pelekat kenderaan institut diletakkan di luar kawasan institut. Penguatkuasaan ini perlu dilakukan kerana peraturan melekat pelekat kenderaan telah diwartakan dalam Peraturan Institut.

7) Memohon agar pihak pengawal terus mengenakan tindakan 'clamp' kenderaan yang mengganggu lalulintas dan diletakkan secara bahaya di kawasan institut.


Saya mengharapkan agar pihak tuan/puan dapat menerima cadangan dari pihak kami dan menimbangkan untuk kebaikan bersama. Jasa baik tuan/puan amat kami hargai. Semoga masalah ini dapat diselesaikan secara berhemah dan memuaskan hati semua pihak. Terima kasih



Menjalankan tugas demi kebajikan pelajar,



………………………………………..
Muhamad Amirul Syafiq bin Md Yusuf
YDP JPP IPG Darulaman sesi 2015/2016



LAMPIRAN



Kenderaan yang diletakkan mengganggu kenderaan untuk keluar masuk



Kenderaan yang telah dilanggar ketika meletakkan kenderaan di kawasan parking